Tuesday, February 10, 2009

Apa erti Qada' dan Qadar?

Qada' ertinya ketentuan Allah dan Qadar ertinya kadar banyaknya akan Qada' tersebut.

Secara mudahnya, Qada' dan Qadar Allah merupakan ketentuan yang tidak akan berubah kerana telah ditentukan Allah sejak azali lagi. Ertinya, segala yang berlaku di dunia ini telah ditentukan Allah yang telah termaktub dalam Lauhul Mahfuz. Tiada satu pun ketentuannya boleh berubah kerana Allah Maha Merancang, Maha Mengetahui segala-galanya. Malah, hidup mati kita, jodoh, syurga dan neraka telah ditentukan kepada kita sejak azali lagi.

Oleh itulah di dalam rukun Iman, Keimanan kepada Qada' dan Qadar diletakkan sebagai keimanan yang keenam iaitu yang diakhir sekali kerana ia adalah rahsia Allah dan amat sukar difahami pada mereka yang tidak kukuh keimanan mereka pada kelima-lima rukun iman terutama keimanan yang pertama iaitu beriman kepada Allah. Sekiranya seseorang hamba itu jitu dan padu akan keimanannya kepada Allah, sudah pasti hamba tersebut tidak akan menghadapi kesulitan untuk memahami akan rukun-rukun iman yang seterusnya terutama Qada' dan Qadar Allah.

Oleh itu wahai saudara-saudaraku, ketahuilah bahawa segala urusan hidup dan mati serta syurga dan neraka telah ditentukan kepada kita cuma kita tidak mengetahuinya sahaja. Oleh kerana tidak mengetahuinyalah kita perlu berusaha untuk mengikut jalan yang Allah telah tunjukkan kepada kita melalui rasul-Nya serta kitab-Nya, Al-Quran sebagai panduan untuk menuju jalan yang diiktiraf Allah Azzawajalla.

Apakah itu Sabar?

Sabar ertinya kita redho atau pasrah akan ketentuan Allah.

Seorang hamba yang sabar akan dikasihi Allah kerana hamba ini telah menyerahkan segala jiwa raganya kepada Allah Taala.

Contoh sabar - seorang hamba yang telah kehilangan kereta. Apabila hamba ini menyedari akan keretanya yang hilang, beliau akan beristighfar dan bertaqdis akan kelemahan dirinya kerana dikhuatiri kehilangan kenderaan tersebut sebagai tanda kemurkaan Allah kepadanya. Hamba ini akan juga membuat laporan kehilangan kepada pihak polis dan insuran sebagai satu usaha untuk mendapatkan semula kenderaan tersebut tetapi dalam keadaan tenang. Hamba yang sabar ini dengan tenang berdoa kepada Allah semoga Allah membantu dan memudahkan urusannya. Sekiranya tidak ditemui juga kenderaan tersebut, hamba ini dengan penuh ketenangan menerima dugaan ini tanpa menyalahkan sesiapa dan tanpa bersungut-sungut kerana beliau pasrah akan ujian Allah.

Kenapa Manusia di Uji Allah

Manusia diuji Allah supaya manusia tersebut menyedari dan mengetahui status hubungan antara dia dan Allah contohnya:

Sekiranya seorang hamba telah ditimpa musibah dan hamba tersebut menghadapainya dengan sabar dan tabah, status dirinya seperti tahap keimanan dan ketakwaan dapat diketahui. Lagi teruk seorang hamba tersebut kena duga dan ujian, semakin tinggi status tahap dirinya akan naik SEKIRANYA hamba tersebut menghadapi ujian tersebut dengan tabah dan sabar sepenuh hati. Ertinya, hamba tersebut bergantung harap kepada Allah semata-mata.

Sebaliknya, sekiranya seorang hamba yang ditimpa musibah itu tidak 'kembali' pada Allah seperti bersungut akan kesusahan beliau, menyesali akan kesusahan yang dihadapi, memaki-maki, menghina-hina, maka status hamba ini amatlah jauh dari rahmat Allah. Ertinya, hamba seperti ini mempunyai hati yang semakin jauh dengan Allah.

Oleh itu, ketahuilah wahai saudara-saudaraku bahawasanya ujian yang dikenakan Allah terhadap kita adalah sebagai satu makluman secara berterusan akan status level antara diri kita dan Allah sehingga kita mati. Hadapilah segala ujianNya dengan penuh tabah lagi sabar. Bergantunglah sepenuh hati kepadaNya sesungguhnya Allah Maha Pengasih lagi Maha Bijaksana.

Sunday, February 8, 2009

Peraturan Hidup

Dalam kehidupan manusia, undang-undang atau peraturan hidup terdiri dari:
Peraturan Islam - apa-apa hukum yang merujuk dari hukum agama Islam.
Peraturan Negara - undang-undang negara untuk keselesaan dan keselamatan rakyat.
Peraturan Moral - paraturan mengikut peredaran, kesesuaian dalam hidup bermasyarakat.

Oleh itu dalam hidup ini, sebaik-baiknya sebarang perbuatan kita mesti memastikan ketiga-tiga peraturan ini dipatuhi barulah dilaksanakan.

Contoh Senario Kehidupan
1. Judi - yang halal dan yang haram
Peraturan Islam - semua judi adalah haram.
Peraturan Negara - kasino atau kedai judi berlesen dibenarkan (halal) tetapi tanpa lesen dikira haram.
Peraturan Moral - membawa keburukan kerana kualiti manusia menurun.

2. Bermain Kutu
Peraturan Islam - dibenarkan kerana konsep tolong menolong memberi pinjaman tanpa dikenakan apa-apa faedah antara sesama sendiri.
Peraturan Negara - haram, kerana menyimpan wang deposit tanpa berlesen.
Peraturan Moral - tiada masalah kerana konsep tolong menolong

3. Seorang suami yang tidak membenarkan isteri ziarah ayahnya yang meninggal dunia.
Peraturan Islam - membolehkan, kerana isteri terletak bawah tanggungjawab suami 100%
Peraturan Negara - Tiada peruntukan undang-undang
Peraturan Moral - tidak sepatutnya diperbuat suami pada hal-hal yang melibatkan hubungan keluarga.

Antara Warna dan Udara

Udara@angin - boleh rasa tetapi tidak boleh nampak.

Warna - boleh nampak tetapi tidak boleh rasa.

Oleh itu tidak semua benda yang ada di dunia ini, kita boleh rasa dan boleh nampak.

Mukjizat Al-Quran

Al-Quran adalah kalam Allah dari Allah untuk umat manusia.

Allah menceritakan di dalamnya sejak alam ini tiada apa-apa (kecuali diriNya) sehingga terjadi apa-apa ciptaanNya hinggalah apa-apa yang akan berlaku di alam Akhirat nanti. Allah telah menceritakan awal-awal lagi apa yang akan berlaku di syurga dan apa yang akan berlaku di neraka. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.

Sudah pasti di dalam kitab Allah ini telah diceritakan segala rahsia ciptaan alam ini sama ada secara zahir atau terlindung sahaja. Oleh itu tidaklah sama mereka yang berilmu dengan mereka yang tidak berilmu.

Takdir Manusia

Setiap manusia telah ditentukan Allah tempatnya di akhirat sama ada syurga atau neraka cuma manusia tidak tahu sahaja. Mana-mana manusia yang ditentukan syurga, takdir hidupnya akan cenderung kepada jalan ahli syurga. Mana-mana manusia yang telah ditentukan neraka, takdir semasa hayatnya akan cenderung ke jalan ahli neraka. Sesungguhnya segala urusan berada dalam genggaman Allah yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.

Sebagai Tuhan yang bersifat Maha Adil, Allah telah turunkan kepada setiap umat itu Rasul dan diturunkan Kitab sebagai panduan untuk manusia memilih mana satu jalan yang benar dan mana satu jalan yang salah. Mana-mana bakal ahli syurga akan cenderung untuk mengikut pesuruh Allah ini dan mana-mana bakal ahli neraka akan cenderung untuk mengingkari ajakan pesuruh Allah ini.