Tuesday, February 10, 2009

Apa erti Qada' dan Qadar?

Qada' ertinya ketentuan Allah dan Qadar ertinya kadar banyaknya akan Qada' tersebut.

Secara mudahnya, Qada' dan Qadar Allah merupakan ketentuan yang tidak akan berubah kerana telah ditentukan Allah sejak azali lagi. Ertinya, segala yang berlaku di dunia ini telah ditentukan Allah yang telah termaktub dalam Lauhul Mahfuz. Tiada satu pun ketentuannya boleh berubah kerana Allah Maha Merancang, Maha Mengetahui segala-galanya. Malah, hidup mati kita, jodoh, syurga dan neraka telah ditentukan kepada kita sejak azali lagi.

Oleh itulah di dalam rukun Iman, Keimanan kepada Qada' dan Qadar diletakkan sebagai keimanan yang keenam iaitu yang diakhir sekali kerana ia adalah rahsia Allah dan amat sukar difahami pada mereka yang tidak kukuh keimanan mereka pada kelima-lima rukun iman terutama keimanan yang pertama iaitu beriman kepada Allah. Sekiranya seseorang hamba itu jitu dan padu akan keimanannya kepada Allah, sudah pasti hamba tersebut tidak akan menghadapi kesulitan untuk memahami akan rukun-rukun iman yang seterusnya terutama Qada' dan Qadar Allah.

Oleh itu wahai saudara-saudaraku, ketahuilah bahawa segala urusan hidup dan mati serta syurga dan neraka telah ditentukan kepada kita cuma kita tidak mengetahuinya sahaja. Oleh kerana tidak mengetahuinyalah kita perlu berusaha untuk mengikut jalan yang Allah telah tunjukkan kepada kita melalui rasul-Nya serta kitab-Nya, Al-Quran sebagai panduan untuk menuju jalan yang diiktiraf Allah Azzawajalla.

No comments:

Post a Comment